Polisi Agent WasaEdu

BAHAWASANYA :-

Syarikat telah bersetuju untuk memberi dan anda telah bersetuju untuk menerima pelantikan sebagai ejen untuk menjual, mempromosi dan/atau memasarkan produk-produk keluaran syarikat berdasarkan terma-terma yang dinyatakan di dalam Perjanjian ini.

MAKA DENGAN INI DIPERSETUJUI oleh pihak-pihak dalam Perjanjian ini, seperti berikut:

1.0 TERMA DAN SYARAT PERLANTIKAN SEBAGAI EJEN

1.1 Ejen dikehendaki membuat pendaftaran dengan syarikat dan membuat bayaran yuran keahlian sebanyak RM10.00 atau mengikut tawaran semasa pada borang pendaftaran. Pesanan hanya boleh dilakukan setelah pendaftaran disahkan di email bagi mengakses sistem yang digunakan oleh syarikat.
1.2 Selepas mendapat kebenaran mengakses sistem, ejen hendaklah aktif membuat pesanan. Jika tidak, ejen akan dibekukan daripada membuat sebarang pembelian produk terbitan syarikat dan semua keistimewaan yang dinikmati akan terbatas selepas 3 bulan tempoh diberikan.
1.3 Hak untuk menjual produk keluaran syarikat diberikan kepada ejen yang hanya berada di bawah seliaan syarikat sahaja.
1.4 Harga jualan untuk ejen hendaklah diselaras mengikut penetapan yang telah disenaraikan oleh syarikat.

2.0 KEISTIMEWAAN EJEN

2.1 Ejen dapat menikmati harga yang ditawarkan bagi setiap produk terbitan di sistem yang digunakan oleh syarikat.
2.2 Syarikat akan menguruskan penghantaran bagi pesanan yang dibuat sama ada kepada team seliaan ejen atau pelanggan.
2.3 Ejen akan menerima bonus sehingga 33% berdasarkan rank yang berjaya dicapai setiap bulan.
2.4 Ejen akan menerima bimbingan dan latihan dari barisan pelatih yang dilantik oleh syarikat dari semasa ke semasa.

3.0 PENAMATAN SEBAGAI EJEN

3.1 Jika pihak syarikat mendapati ada berlaku sebarang penipuan maklumat semasa pendaftaran, ejen akan diberikan notis bertulis dan dikeluarkan serta merta dari WasaEdu dan sistem yang digunakan oleh syarikat.
3.2 Jika didapati tiada sebarang pesanan dalam tempoh masa 3 bulan (90 hari), ejen akan dibekukan dari membuat sebarang pembelian dan tidak boleh membuat pesanan termasuk melihat produk dalam sistem yang digunakan oleh syarikat.
3.3 Sekiranya sudah terkeluar dari sistem dan berminat untuk menyertai semula WasaEdu, bayaran pendaftaran semula perlu dibayar iaitu sebanyak RM10.
3.4 Ejen hanya dibenarkan menyertai semula WasaEdu maksima sebanyak 3 kali sahaja, selepas itu pihak syarikat menganggap ejen tidak serius atau berminat.
3.5 Ejen akan di ‘senarai hitam’ dari menjual sebarang produk keluaran WasaPower Group Sdn Bhd sekiranya didapati melanggar terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak syarikat.

4.0 PENETAPAN HARGA JUALAN

4.1 Ejen dilarang “main harga” dan harus mengikut harga jualan yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat.
4.2 Ejen dilarang membuat jualan pukal dengan memotong harga jualan kepada pelanggan di semua platform pemasaran.
4.3 Ejen dilarang sama sekali memaparkan perkataan FREE POSTAGE di setiap iklan di semua platform pemasaran kecuali yang terlibat dengan sebarang promosi yang ditetapkan oleh syarikat.
4.4 Sebarang bentuk promosi yang mahu dilakukan oleh ejen sendiri menggunakan apa-apa medium hendaklah dimaklumkan kepada pihak syarikat dan wajib mendapat kelulusan terlebih dahulu.
4.5 Ejen dilarang sama sekali berpakat dengan team atau ejen berdaftar Wasaedu yang lain bertujuan bagi mengumpul pesanan untuk melengkapkan syarat wajib restok.
4.6 Sekiranya didapati ejen menjual produk keluaran syarikat di bawah harga pasaran yang telah ditetapkan, secara automatik ejen dikeluarkan daripada Team Wasa, disenarai hitam dan tidak akan diterima kembali seumur hidup setelah peringatan 3 kali berturut-turut diberikan.

5.0 PENDAFTARAN AHLI TEAM DI BAWAH EJEN

5.1 Pendaftaran team di bawah ejen hendaklah didaftarkan di sistem yang telah digunakan oleh syarikat dengan bayaran RM10 atau mengikut tawaran semasa ketika pertama kali mengakses sistem. Bayaran ini adalah sebagai cas penggunaan sistem.
5.2 Setiap pendaftaran team di bawah ejen layak menerima komisen rekrut sehingga 50% daripada yuran pendaftaran atau mengikut promosi rekrut semasa.
5.3 Adalah menjadi tanggungjawab ejen untuk memastikan dan mengingatkan team bawahan akan kesan dan akibat mengubah kawalan harga yang telah ditetapkan atau menjual produk keluaran syarikat di bawah paras harga pasaran.
5.4 Sekiranya melalui siasatan pihak syarikat, didapati ejen turut bersubahat dalam melakukan kesalahan sama ada melalui pakatan secara langsung atau tidak langsung, atau ejen sendiri gagal memastikan dan mengingatkan team mengenai isu mengubah kawalan harga sewenangnya, maka ejen akan menerima hukuman yang sama seperti yang dinyatakan di perenggan 4.6 di atas. Akan tetapi, sekiranya selepas siasatan dilakukan didapati ejen tidak bersalah, maka hanya team tersebut yang akan disenarai hitamkan seumur hidup dari menyertai WasaEdu.

6.0 SISTEM YANG DIGUNAKAN OLEH SYARIKAT

6.1 Sistem ini adalah hak milik dan dikawal selia sepenuhnya oleh WasaPower Group Sdn Bhd.
6.2 Sistem ini digunakan sepenuhnya untuk ejen membuat pesanan dan pengurusan produk kepada pihak syarikat dengan lebih sistematik, cepat dan efisyen.
6.3 Penggunaan sistem ini adalah terhad hanya kepada ejen yang telah berdaftar dan dilantik secara sah oleh pihak syarikat.
6.4 Ejen yang berdaftar di bawah pihak syarikat adalah diwajibkan menggunakan sistem ini sepenuhnya.
6.5 Penggunaan sistem ini tidak terpakai bagi produk yang bukan dikeluarkan oleh pihak syarikat.

7.0 PESANAN

7.1 Sebarang pesanan hanya boleh dibuat melalui sistem yang digunakan oleh syarikat sahaja. Tidak dibenarkan menggunakan talian telefon, whatsapp, PM atau sebagainya. Pembayaran adalah sepenuhnya menggunakan online banking (FPX).
7.2 Pesanan boleh dibuat sama ada untuk ambil sendiri di alamat syarikat atau pos sahaja.
7.3 Pesanan mesti diisi dengan betul dan tepat bagi mengelakkan sebarang masalah dan kelewatan ketika pihak syarikat melakukan ‘process proceed order’.
7.4 Pesanan yang banyak akan diproses mengikut senarai terawal hingga terakhir dari tarikh mula pesanan.
7.5 Pesanan berstatus pre-order yang disekalikan dengan pesanan lain hanya akan diproses selepas stok tersedia di gudang syarikat.

8.0 TEMPOH TAMAT PESANAN (CUT-OFF)

8.1 Tempoh tamat untuk membuat pesanan untuk di pos pada hari yang sama adalah pada jam 8.00 pagi.
8.2 Selepas jam 8.00 pagi, pesanan akan diproses keesokan harinya (waktu bekerja sahaja).

9.0 SYARIKAT PENGHANTARAN BARANGAN

9.1 Segala penghantaran barangan akan dilakukan menggunakan kurier yang ditetapkan oleh pihak syarikat sahaja iaitu NINJA VAN, J&T dan POSLAJU. Sebarang perubahan akan dikemaskini dari masa ke semasa.
9.2 Pihak syarikat tidak menerima sebarang Air Waybill (AWB) daripada sistem jualan seperti Shopee, Lazada dan sebagainya yang digunakan oleh ejen/penulis/pelanggan untuk diproses.

10.0 PENGAMBILAN BARANG PESANAN (SELF PICK-UP)

10.1 Masa yang ditetapkan untuk mengambil barang pesanan di alamat syarikat adalah pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum), bermula 2.30 petang sehingga 5.30 petang sahaja.
10.2 Sekiranya ejen/penulis/pelanggan hadir sebelum atau selepas masa yang ditetapkan, pihak syarikat tidak akan bertanggungjawab untuk memenuhi proses pengambilan barang pesanan tersebut.
10.3 Tempahan mesti dibuat terlebih dahulu di sistem yang digunakan oleh syarikat sebelum hadir mengambil barang pesanan bagi memudahkan urusan bagi kedua belah pihak.

11.0 PEMBATALAN PESANAN

11.1 Pesanan tidak boleh dibatalkan selepas dibuat melalui sistem.
11.2 Ejen mesti memastikan pesanan yang dibuat betul dan membuat semakan bagi mengelakkan sebarang kesilapan berlaku.

12.0 PEMBATALAN KOS PENGHANTARAN

12.1 Kos penghantaran tidak akan dipulangkan sekiranya ejen/penulis/pelanggan bertukar cadangan untuk mengambil barang pesanan di alamat syarikat.
12.2 Semasa melakukan pesanan, ejen/penulis/pelanggan hendaklah memastikan dan membuat keputusan sewajarnya sama ada hendak menggunakan khidmat pos atau mengambil di alamat syarikat.

13.0 PEMBETULAN MAKLUMAT

13.1 Bagi pesanan yang telah dibuat dan didapati maklumat penting seperti alamat atau nombor telefon adalah salah dan tidak lengkap, maklumkan pembetulan yang perlu dibuat pada bahagian bantuan kami di talian 03-87061880.
13.2 Ejen/penulis mesti pastikan alamat diterima dari pelanggan adalah lengkap termasuk poskod.

14.0 ADUAN PELANGGAN

14.1 Sekiranya pelanggan membuat aduan kesilapan atau kerosakan ketika penghantaran, ejen perlu memberikan link Borang Aduan untuk diisi oleh pelanggan.
14.2 Borang Aduan hendaklah diisi dengan lengkap beserta gambar dan video.
14.3 Aduan akan diproses dalam tempoh masa 7 hari bekerja dari tarikh aduan dibuat mengikut terma dan syarat.

15.0 JANGKA MASA PENGHANTARAN

15.1 Penghantaran parcel kepada pelanggan dianggarkan akan diterima dalam tempoh 1 – 5 hari bekerja bagi Semenanjung Malaysia manakala 3 – 7 hari bekerja bagi Sabah dan Sarawak mengikut ketetapan kurier yang dilantik.
15.2 Sekiranya parcel tidak sampai dalam tempoh anggaran, sila buat semakan nombor tracking yang telah diberikan terlebih dahulu.
15.3 Sekiranya berlaku kelewatan penghantaran dan masalah melibatkan kurier, sila hubungi kurier yang terlibat untuk semakan lanjut.

16.0 PEMULANGAN PESANAN BERMASALAH

16.1 Sebarang pemulangan semula pesanan kepada pihak syarikat hanya diterima sekiranya kesilapan yang dilakukan oleh pihak syarikat sahaja seperti berikut:
i. Kesilapan cetakan dari pihak pengilang.
ii. Kerosakan teknikal dari produk yang bukan buku.
iii. Kesilapan terima barang pesanan.
16.2 Sebarang pemulangan semula pesanan dengan kerosakan yang tidak serius dan ingin ditukar, kos penghantaran akan ditanggung oleh pelanggan/ejen sepenuhnya.
16.3 Bagi kesilapan terima pesanan, pelanggan/ejen akan diberi pilihan sekiranya berminat dengan barangan tersebut dan jika tidak perlulah berurusan dengan pihak khidmat pelanggan syarikat.
16.4 Pihak syarikat tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang kesilapan dan kerosakan yang dilakukan oleh pihak kurier yang dilantik.

17.0 RESIT / INVOICE / DELIVERY ORDER UNTUK PEMBELIAN

17.1 Ejen/penulis boleh mengeluarkan resit / invoice / delivery order melalui sistem yang digunakan oleh syarikat.
17.2 Pihak syarikat tidak bertanggungjawab mengeluarkan sebarang resit / invoice / delivery order untuk pelanggan ejen / penulis.
17.3 Tidak dibenarkan sama sekali mencetak buku resit menggunakan logo WasaPower Group Sdn Bhd atau WasaEdu secara persendirian.

18.0 PENGUNAAN NAMA DAN LOGO SYARIKAT

18.1 Ejen/penulis dilarang sama sekali menggunakan sebarang nama dengan meletakkan perkataan WasaPower/WasaEdu untuk kedai, akaun media sosial (whatsapp, whatsapp business, facebook profile, facebook page, Instagram,blog,dll) atau di mana-mana tanpa kebenaran pihak syarikat.
18.2 Ejen/penulis juga dilarang menggunakan logo sendiri yang diedit dengan meletakkan gambar atau perkataan WasaPower/WasaEdu.
18.3 Jika didapati berlaku penyalahgunaan nama dan logo, ejen akan disenarai hitam untuk berada dalam team WasaEdu seumur hidup.
18.4 Ejen juga akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berlaku perkara di atas yang menjejaskan nama baik syarikat.

19.0 LAIN-LAIN

19.1 Sebarang penambahbaikkan atau permasalahan boleh menghubungi bahagian support di +603-8706 1880 atau boleh mengemukakan email di [email protected].